Penafsiran Kuasa Raja Dalam Beberapa Teks Sastera Melayu Lama

Kuasa Raja Dalam Hikayat Hang Tuah & Sejarah Melayu
Besarnya kuasa raja Melayu boleh juga dilihat dalam sistem pemerintahannya seperti yang dikisahkan dalam Hikayat Hang Tuah walaupun ia bukan teks historiografi seperti Sejarah Melayu. Sistem pemerintahan itu berpusatkan raja yang berada di puncaknya dengan diikuti pembesar-pembesarnya. Pembesar yang paling tinggi kedudukan, sekaligus paling dekat kepada raja adalah Bendahara, dengan disusuli Penghulu Bendahari, Temenggung, Laksamana, Syahbandar, Sida tentera dan hulubalang. Jawatan-jawatan itu mengatakan kuasa raja ditentukan banyak faktor, termasuk kewangan, pertahanan, pentadbiran, hal ehwal luar dan dalam negeri, jajahan dengan rakyatnya, selain silasilah yang mengesahkannya. Oleh sebab raja Melayu itu berkuasa mutlak, maka kuasanya mengatasi kuasa semua pembessarnya. Walaupun kata-kata raja adalah undang-undang dan baginda juga menjalankan hukuman, tetapi yang paling ditakuti rakyat adalah raja yang zalim, tidak saksama dan tidak adil. Kes penganiayaan itu jelas kelihatan pada Hang Tuah dihukum bunuh kerana fitnah dan juga hukuman bunuh ke atas Raja Muda, Sang Jaya Raja, kerana difitnah dalam Hikayat Hang Tuah. Demikian juga dengan budak cerdik yang mengeluarkan ide menggunakan batang pisang untuk menangkis serangan ikan todak di Singapura dalam Sejarah Melayu. Budak itu sepatutnya mendapat balasan yang baik, tetapi telah menemui ajalnya kerana ide yang luar biasa yang membuat orang dewasa cemburu terhadapnya. Tertakluk kepada undang-undang pantang engkar, lebih-lebih lagi menderhaka, Bendahara Paduka Raja terpaksa menjalankan perintah raja walaupun mendapati tuannya, Raja Melaka itu, telah salah. Sehubungan itu, kehendak raja mesti dipenuhi. Antara peristiwa yang menjadi contohnya adalah Hang Tuah sanggup memasuki lubang tahi dan kubur untuk mengetahui keadaan hidup di alam akhirat, selain bertarung dengan buaya untuk mendapatkan balik mahkota baginda yang terjatuh ke laut. Seperti di China masa lalu, kekejaman hukuman bunuh raja Melayu bukan ke atas pesalah sahaja, tetapi juga ahli keluarganya. Yang dimaksudkan di sini adalah Raja Melaka memerintahkan Hang Tuah membuang anak Hang Jebat, kerana didapati menderhaka, iaitu Hang Kadim, ke laut.
Walaupun berkuasa mutlak, tetapi raja Melayu tahu keterbatasan kuasa dan upayanya. Oleh itu, baginda mendapati perlu bergantung pada pembesar-pembesarnya untuk melakukan kerja yang tidak dapat dilakukannya sendiri. Dalam Hikayat Hang Tuah telah dikisahkan Bendahara Paduka Raja diminta Raja untuk menjadi pemangku raja semasa Baginda membuat lawatan rasmi ke negeri lain, termasuk Majapahit. Selain itu, kepercayaan Raja kepada Bendaharanya yang beramanah dan taat kepadanya boleh dilihat pada titah Baginda untuk melantik anakanda Baginda, Raden Bahar, sebagai penggantinya sekiranya Baginda mati terbunuh di Majapahit. Rapatnya hubungan Bendahara dengan raja dan kuatnya kepercayaan raja kepada Bendaharanya itu boleh juga dilihat dari segi Bendahara juga adalah penasihat utama kepada raja. Penasihat lain kepada raja dalam Hikayat Hang Tuah adalah Hang Tuah. Antara peristiwa yang boleh dijadikan contoh dalam konteks ini adalah Bendahara menasihati raja Melaka untuk membenarkan Parmadewan duduk bersama-sama pembesar Melaka yang lain, termasuk Temenggung dan dirinya, kerana saudagar itu saudagar besar dari benua Keling. Penerimaan nasihat Bendahara Paduka Raja secara bulat-bulat oleh raja itu menunjukkan tingginya penghormatan dan besarnya kepercayaan Baginda kepadanya sebagai pembesar utama. Sehuhungan itu, Baginda juga meminta nasihat daripada Bendahara Paduka Raja, Hang Tuah dan pembesar kanan yang lain untuk mengatur strategi menentang serangan dari Peringgi. Kesemua itu menunjukkan kebergantungan raja pada pembesar-pembesarnya. Sehubungan itu, antara sebab-sebab Melaka menjadi lemah, kemudian jatuh kepada Portugis adalah kematian Bendahara Tun Perak, perbuatan rasuah, fitnah-menfitnah yang mereputkan kerajaan Melayu dengan raja Melaka yang lemah.
Dalam Hikayat Hang Tuah, kita juga nampak bagaimana raja Melayu mengembangkan kuasanya ke negeri lain. Antara yang dilakukan ialah dengan menjalin hubungan diplomatik, mengadakan kunjungan rasmi dan juga menyerang kerajaan yang tidak mahu sembah kepadanya. Dalam konteks masa kini, hubungan diplomatik itu ditugaskan kepada duta yang berwibawa, bijak dan disegani. Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah telah ditugaskan (tidak ikut kronologi) pergi ke Majapahit untuk meminang puteri Betara Majapahit, iaitu Raden Galuh Emas Ayu; ke benua Keling untuk menjalin perhubungan persahabatan raja Melaka dengan raja di India; ke Turki untuk membeli senjata api untuk mempertahankan Melaka dari serangan musuh dan ke Siam untuk membeli gajah sempena pertabalan anakanda Baginda, Raden Bajau, di Bukit Siguntang. Dengan adanya huhungan diplomatik itu raja dan kerajaan Melaka boleh ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan raja dan kerajaan negaranya, dekat dan jauh, termasuk Inderapura (Pahang Darul Makmur), benua Rom (negara Turki), benua Keling (India) dan benua China.
Walaupun perwatakan raja tidak banyak ditonjolkan dalam Hikayat Hang Tuah, tetapi Baginda adalah tulang bekalang hikayat itu. Tanpa raja dengan kuasanya, kerajaannya dan sifat-sifat lain Baginda itu, Hang Tuah sukar memainkan peranannya sebagai laksamana dan rakyat yang taat setia kepada sistem kuasa mutlak raja Melayu feudal itu. Untuk menunjukkan kuasa dan keistimewaannya, asal usul raja Melaka telah dikaitkan dengan kuasa ghaib yang juga menjadi ciri penting dalam cerita penglipur lara dan cerita epik. Kesemua itu adalah syarat piawai untuk menekankan unsur kesahan raja tidak mungkin didapati rakyat biasa. Sang Maniaka yang menjadi Raja Bentan dan seterusnya Raja Melaka adalah daripada keturunan Sang Sapurba yang berasal dari kayangan. Selain itu, keistimewaan raja Melayu juga dikaitkan dengan kisah pembukaan negeri. Sehubungan itu, pembukaan negeri Melaka melibatkan seekur pelanduk putih yang kecil sahaja badannya tetapi telah mengalahkan dua ekur anjing Raja Melaka. Peristiwa itu membuat Baginda memutuskan untuk membuka negeri barunya di tapak itu yang juga menurut pandangan Bendahara Paduka Raja dan menteri yang lain adalah alamat yang baik. Tempat itu dinamakan Melaka bersempena pokok Melaka yang tumbuh dengan subur di situ. Seterusnya keistimewaan raja dalam Hikayat Hang Tuah telah digandingkan dengan kepelbagaiaan keistimewaan Hang Tuah. Antaranya Hang Tuah berjumpa dengan Nabi Khidir yang memberikannya sebiji benih kayu yang boleh berbuah dan berbunga dengan serta-merta sebaik sahaja ditanam, Hang Tuah mendarat di Pulau Biram Dewa yang belum pernah dijejaki manusia, semasa di Mekah Hang Tuah dihadiahkan sebuah cembul yang mengandungi air sakti yang membolehkan Hang Tuah bercakap dalam banyak bahasa setelah disapu, Hang Tuah bukan sahaja mempunyai ilmu sihir, tetapi juga boleh membuat ubat pengasih yang membuat Tun Teja jatuh hati kepadanya dan Hang Tuah berjaya menangkap seekur ular cintamani di Pulau Biram Dewa, selain Hang Tuah memasuki kubur untuk melihat keadaan di akhirat seperti yang telah disebut tadi. Kesemua itu adalah untuk menunjukkan raja yang hebat pandai juga memilih pembesar dan pembantunya yang berani, gagah, beramanah dan setia.
Serpihan kisah yang menggambarkan kuasa raja dalam Hikayat Tuah Tuah tadi boleh juga dilihat dalam Sejarah Melayu, walaupun tidaklah sama 100%. Antaranya adalah hubungan antara Melaka dengan China. Maharaja China telah menghantar utusannya ke Melaka untuk menjalin hubungan diplomatik dengan raja Melaka dengan disertakan sebuah pilu sarat dengan jarum, lambang banyaknya rakyat China. Untuk membalasnya, Sultan Mansor Syah telah menghantar sebuah pilu sarat dengan sagu rendang dengan maksud bahawa rakyatnya juga ramai. Seterusnya terdapat banyak episod yang menunjukkan kebesaran dan kedaulatan Sultan Melaka berbanding dengan Maharaja China. Antaranya kebijaksanaan Bendahara Tun Perpatih Putih, perkahwinan Hang Li Po dengan Sultan Mansor Syah dan maharaja China terkena tulah daripada Sultan Mansor Syah. Daripada sebegitu banyak kisah itu, yang menarik dari segi kuasa raja Melayu adalah Sultan Mansor Syah menyesal tindakannya ’membunuh’ Hang Tuah, lebih-lebih lagi pembunuhan itu telah membuat Hang Kasturi menderhaka. Untuk menghargai jasanya menghapuskan Hang Kasturi, Hang Tuah telah dianugerahkan gelaran Laksamana daripada raja Melaka. Dengan itu, naiklah status Hang Tuah setaraf dengan Bendahara Seri Nara Diraja, yang jasanya juga dihargai Baginda dengan diberikan kuasa ke atas Sungai Ujung. Antara perkara yang menarik di sini adalah perlantikan jawatan dan penganugerahan gelaran juga adalah hak mutlak raja yang berkuasa. Dari masa ke masa, antara pembesar yang dianugerahkan gelaran adalah Tun Tahir yang telah dilantik menjadi Penghulu Bendahari dan bergelar Seri Nara Diraja, Tun Mutahir dilantik sebagai Temenggung dengan gelaran Seri Maharaja, dan Tun Abdullah dilantik sebagai Seri Nara Wangsa.
Berdasarkan kehebatan kerajaan Melaka semasa, Sultan Mansor Syah adalah raja Melayu yang paling besar kuasanya. Di bawah pemerintahnnya, Melaka telah makmur dan maju sehinggakan dilanggap saudagar Arab sebagai Malakat yang membawa maksud tempat berkumpulnya semua barangan dan dagangan. Menurut Hikyat Hang Tuah, tiada negeri lain boleh menandingi Melaka, kecuali Haru dan Pasai. Sehingga kini, tidak banyak maklumat tentang kehebatan kerajaan di Haru. Tetapi, lainlah halnya tentang kerajaan Pasai. Selain Hikayat Raja-Raja Pasai, kehebatan kerajaan Pasai juga diitiraf Marco Polo yang singgah di Sumatera dalam perjalanannya balik ke Itali. Menurut catatanya terdapat lapan buah kerajaan dengan lapan orang raja. Antaranya ialah Perlak (Ferlec), Acheh (Lamuri), Pasai (Pase/ Basma) dan Samudera (Samara). Raja-raja itu mendakwa diri mereka daripada “subjects of the Great Khan, the Chinese emperor, Kublai Khan” (Majumdar 1963:73). Namun demikian, gambaran tentang keadaan Melaka dalam Hikayat Hang Tuah amat berbeza dengan keadaan yang sebenarnya yang sebahagiannya telah ditunjukkan dalam senarai kronologi dalam Lampiran A. Namun, kebijaksaaan Sultan Mansor Syah dalam mengelakkan perselisihan faham di dalam negeri boleh dilihat dengan Baginda mengusir anakanda kesayangannya, Raja Muhammad ke Pahang, kemudian dirajakan di Pahang. Seterusnya, kekuatan tentera Melaka di bawah Sultan Mansor Syah boleh dilihat pada Kampar ditakluki kerana rajanya, Maharaja Jaya, enggan menyembah kepada raja di Melaka. Dari peristiwa itu, kita dimaklumkan bahawa serang-menyerang adalah juga salah satu asas kuasa raja Melayu, seperti raja-raja yang lain di dunia. Sehubungan itu, banyaknya pakatan yang telah dibentuk di kalangan raja-raja dari masa ke masa dan kronologinya boleh juga dilihat di Lampiran. Sehubungan itu, untuk menghormati jasanya, Khoja Baba telah dianugerahkan gelaran Akhtiar Muluk, sementara Kampar telah diserah kepada Seri Nara Diraja. Selain itu, Siak juga diserang Melaka kerana raja Siak, Maharaja Permaisura, juga tidak mahu menyembah raja di Melaka. Dalam pertempuran itu, raja Siak itu terbunuh. Penyudahnya Megat Kudu, anakanda raja Siak yang terbunuh itu, dibawa balik ke Melaka. Selain itu, pembesar Seri Udani yang berjasa besar dalam pertempuran itu dilantik menjadi Perdana Menteri. Tidak lama kemudian, telah berlangsung perkahwinan antara Megat Kudu dengan puteri Sultan Mansor Syah, Raja Mahadewi. Selepas itu, Megat Kudu dirajakan semula di Siak dengan gelaran Sultan Ibrahim.
Sudah lama Sultan Mansor Syah ingin melantik Raja Muhammad, anakanda kesayangan Baginda sebagai penggantinya di Melaka bila sampai masanya. Tetapi, hajat itu tidak kesampaian kerana kekecuhan dan konflik di kalangan istana setelah Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anakanda Bendahara Paduka Raja, akibat destar Raja Muhammad jatuh setelah terkena bola raga sepakan daripada Tun Besar semasa Raja Muhammad berlalu di kampong Bendahara Paduka. Pada mulanya, anak buah Bendahara Paduka Raja yang sangat marah dengan perbuatan Raja Muhammad itu hendak membalas dendam. Walaupun perbuatan itu ditegah Bendahara sendiri kerana tidak ingin dikenali sebagai ’penderhaka’, tetapi ia menyatakan bahawa ia tidak akan ’bertuankan’ Raja Muhammad. Menyedari perkara itu buruk akibatnya, Sultan Mansor Syah terpaksa mengusir Raja Muhammad dari Melaka untuk dirajakan di Pahang, dengan diberikan gelaran Sultan Muhammad Syah. Banyak hal boleh diketahui daripada episod ini. Yang utama adalah konflik di kalangan istana perlu diselesaikan, dan ketegasan raja dan pembesarnya menyelesaikan konflik itu turut menunjukkan raja dan pembesarnya perlu hormat-menghormati. Dengan itu, raja yang berkuasa bukan sahaja dapat mengekalkan kuasanya, tetapi juga mengembangkannya. Pengembangan kuasa raja di Melaka ke Pahang telah dilakukan dengan Raja Muhammad berkahwin dengan Mengindera Putri, cucu kepada Sultan Iskandar Syah, Raja Kelantan di Pahang. Daripada perkahwinan itu lahirlah Raja Ahmad, Raja Jamil dan Raja Mahmud yang memperkembangkan kuasa raja Melayu di Melaka di Pahang dan juga ke negeri-negari lain. Berbalik kepada kehebatan Sultan Mansor Syah, ingin ditambah satu lagi fakta yang membuat Baginda begitu terserlah: Rupa-rupanya raja ini suka berguru pada orang yang tahu dan berilmu, tidak kira tempatnya. Contohnya ialah Baginda telah menghantar Tun Bija Wangsa ke Pasai untuk mendapatkan jawapan kepada kemusykilan ”segala isi syurga itu kekalkan ia di dalam syurga dan segala isi neraka itu kekallah ia di dalam neraka.” Jawapan yang dicari itu akhirnya telah diberi Makdum Muda di istana di Pasai di depan Sultan Pasai kepada Tun Bija Wangsa sendiri. Sampai di sini ingin ditambah bahawa dalam Sejarah Melayu telah disebut nama sepuluh orang raja dan sultan yang pernah memerintah Melaka. Mereka adalah Raja Iskandar, Raja Besar Muda, Raja Tengah, Sultan Muhammad Syah (Raja Kecil Besar), Sultan Abu Syahid (Raja Ibrahim), Sultan Muzaffir Syah (Raja Kassim), Sultan Alauddin Riayat Syah (Raja Husin), Sultan Mahmud Syah (Raja Muhammad), Sultan Ahmad Syah (Raja Ahmad) dan Sultan Mansor Syah (Raja Abdullah) yang didapati begitu banyak diperkatakan dalam kertas kerja ini.
Perhatian lebih diberi kepada Sultan Mansor Syah juga disebabkan Baginda telah menggunakan kekuatan tentera kerajaannaya untuk menambah kuasa, kehebatan dan kewibawaan Baginda sebagai raja yang berkuasa. Ini ternyata daripada keupayaan Baginda membantu Raja Pasai, Sultan Zainal Abidin, mendapat balik tahktanya daripada adindanya sendiri setelah menggulingkannya dan membuat Sultan Zainal Abidin mencari perlindungan di Melaka. Untuk itu, angkatan Melaka yang diketuai Bendahara Seri Bija Diraja, Laksamana dan hulubalang telah diarah pergi ke Pasai. Setelah bertempur dengan hebat, angkatan tentera dari Melaka telah mengalahkan angkatan tentera Pasai. Tetapi, Sultan Zainal Abidin yang dirajakan semula di Pasai itu tidak mahu menyembah raja di Melaka. Perbuatan kacang lupakan kulit itu dimurkai Baginda, maka tidak lagi mahu menolong Sultan Zainul, maka tewas sekali lagi setelah angkatan Melaka balik ke Melaka.
Perkara yang menarik tentang raja Melayu bukan sahaja mengekalkan, tetapi juga menurunkan kuasa dan kekuasaannya kepada anak cucunya. Penurunan kuasa dan tahkta kerajaan kepada anakanda kesayangannya telah menimbulkan konflik, malahan rebutan kuasa di kalangan anak-anak raja itu. Anak-anak raja yang tidak berpuas hati tentang pilihan ayahanda mereka akan mencari jalan untuk merampas kuasa dengan menggulingkan saudaranya. Satu contoh telah berlaku di Pasai dengan Sultan Zainal Abidin digulingkan adindanya sendiri. Sementara itu, berbalik kepada kebijaksanaan Sultan Mansor Syah menurunkan kuasanya sebelum mangkat. Baginda yang gering telah meninggalkan pesan kepada Bendahara dan pembesar istana yang lain dengan titah:
1. jaga anakanda Raja Husin dengan baik
2. lantik Raja Husin sebagai Sultan Melaka yang baru
3. maafkan kesalahan Raja Husin kerana dia masih kecil

Sehubungan itu, Sultan Mansor Syah meninggalkan pesanannya kepada Raja Husin:
1. setiap insan yang hidup akan mati juga
2. raja mesti adil dan banyak bersabar
3. jangan tamak kuasa dan harta
4. mesti bermuafakat dengan semua pembesar demi keamanan Melaka

Titah Baginda itu adalah antara petunjuk penting tentang asas-asas kuasa raja. Soalan yang timbul di sini: adakah raja baru itu mengamalkan pesan dan niat Baginda yang menaruh harapan besar kepada raja baru itu, iaitu di sini Raja Husin sebagai ketua kerajaan Melaka yang menggantikan ayahandanya? Pada awal pemerintahan Raja Husin, yang bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah, kecurian dan rompakan berleluasa di Melaka. Untuk mengatasi masalah itu, Baginda telah menyamar diri untuk dapat meronda kota Melaka bersama-sama Hang Isap dan Hang Siak. Pada suatu malam, Baginda sudah menangkap lima orang pencuri. Pada keesukan harinya, Baginda menanyakan hal itu kepada Temenggung Seri Maharaja yang tidak tahu-menahu mengenainya. Baginda terus mengkritik Temenggung dengan mengatakan dia tidak menjalankan tanggung jawab dengan baik. Temenggung yang tersentak itu telah mengetatkan kawalan selain menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka yang mencuri, merompak dan buat hal-hal yang merosakkan keamananan. Sejak itu, Melaka kembali aman dan damai. Seperti ayahandanya, Sultan Alauddin Riayat Shah juga melayan Raja Maluku yang mencari perlindungan di Melaka setelah negerinya diserang Kastilan. Juga diceritakan bahawa Baginda juga berjanji kepada Raja Maluku yang dia akan menawan semula Maluku daripada Kastilan. Selain itu, diceritakan juga bahawa Raja Maluku tidaklah sehebat Sultan Alauddin Riayat Shah bermain sepak raga. Sementara itu, seorang hulubalang, Telanai Terengganu, menghadap Sultan Alaudin Riayat Shah tanpa memberitahu tuannya Sultan Muhammad, Sultan Pahang, terlebih dahulu. Perbuatan itu membuat Sultan Pahang itu murka, lalu Baginda memerintahkan Seri Akar Raja untuk membunuh Telanai Terengganu. Selain itu, Sultan Muhammad juga merancang untuk menyerang Melaka yang dianggap juga miliknya, (jika tidak kerana peristiwa destarnya jatuh terkena bola sepak raga dahulu). Tetapi, rahsia itu telah dibocorkan anak cucu Telanai Terengganu yang melarikan diri ke Melaka. Untuk mempertahankan diri dan negerinya, Sultan Alauddin Riayat Shah merancang hendak menyerang Pahang, tetapi telah ditegah Bendahara dengan alasan Sultan Pahang adalah juga darah daging Sultan Melaka. Untuk menyelesaikan kekemelutan politik dan pertarungan kuasa itu, Laksamana telah dihantar ke Pahang. Semasa surat utusan dari Melaka dibaca, Laksamana telah membunuh sepupu Seri Akar Diraja. Peristiwa itu telah menimbulkan kekecuhan baru di kalangan istana. Semasa disoal siasat oleh Sultan Pahang, Laksamana mengatakan bahawa perbuatannya itu adalah sebagai balasan kepada tindakan Seri Akar Diraja yang dibunuh Telanai Trengganu tanpa dimaklumkan kepada Sultan Melaka. Sehubungan itu, Sultan Muhammad menyatakan pembunuhan Telanai Terengganu adalah kerana dia merendah-rendahkan angkatan perang Melaka. Untuk menghargai jasanya sebagai orang tengah, Laksamana telah diberi anugerah sekembalinya ke Melaka. Selepas itu, Laksamana itu juga telah diperintahkan Sultan Alauddin Syah pergi ke Siak untuk menyiasat pembunuhan seorang yang menderhaka tanpa memberitahu Sultan Melaka. Berhuhungan itu, Sultan Ibrahim, yaitu Raja Siak, telah mengutus surat meminta maaf kepada Sultan Alauddin Riayat Syah melalui Laksamana. Akhirnya, semasa Sultan Alauddin Riayat Syah gering, Baginda mengikut jejak langkah ayahandanya, iaitu juga tradisi turun-temurun, dengan memanggil semua pembesar dan anakanda Baginda untuk menyampaikan pesanan yang berbunyi:
1. Raja Muhammad adalah pengganti Baginda nanti
2. Raja Muhammad mesti dijaga dengan baik kerana masih kecil
3. Kesalahan Raja Muhammad patut dimaafkan kerana masih kecil
4. Rakyat jelata mesti dijaga dengan baik
5. Anak Melayu tidak boleh dibunuh sesuka hati, kecuali menderhaka
6. Kerjakan segala perintah Allah

Manifestasi Kuasa Raja dan Implikasinya
Berpandukan beberapa kisah yang dipetik dari Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, dapatlah kita gambarkan serba sedikit asas-asas pembinaan kuasa raja-raja Melayu, selain tatacara kuasa itu diwarisi dan dikembangkan. Pewarisan dan pengembangan kuasa itu melibatkan pengembangan atau sebaliknya kuasa, sekaligus kewibawaan dan pengaruh raja-raja yang berkenaan. Kesemua itu boleh dilihat daripada banyak segi, termasuk kuasa di tangan raja adalah alat untuk raja mencapai matlamat politik. Pada pengertian umum, kuasa boleh dimengertikan sebagai kebolehan raja untuk membuat perubahan, menguasai sumber manusia, alam semula jadi dan apa-apa juga objek lain untuk kepentingan dirinya dan rakyat jelata. Pengertian itu akan menjadi lebih jelas bila dipadankan dengan pendapat Thomas Hobbes yang mengatakan kuasa adalah “present means to obtain some future apparent good”. Sebahagian daripada manifestasi kuasa raja yang dimaksudkan itu dapat dilihat dalam peristiwa seperti yang sudah dipetik daripada Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Antara yang ternyata adalah:
1. Setiap raja yang berkuasa mesti ada negerinya dan rakyatnya.
2. Kuasa raja itu diturunkan dari satu generasi ke satu jenerasi yang lain, walaupun asal usul kuasanya dikaitkan dengan cerita mitos dan legenda sesuai dengan kepercayaan Melayu yang diwarisi dari zaman silam.
3. Raja menduduki kemuncak hiraki kerajaan yang ada organisasinyua sendiri
4. Hanya raja yang berkuasa berhak melantik dan menganugerahkan gelaran kebesaran kepada pembesar-pembesarnya, termasuk Bendahara, Penghulu Bendahari, Laksamana dan Syahbandar.
5. Penurunan kuasa dari raja kepada pembesar-pembesarnya tidak sekali-kali bermakna pengecutan kuasa raja tadi, tetapi adalah yang sebaliknya.
6. Penurunan kuasa daripada raja kepada anakanda kesayangan boleh mencetuskan konflik di kalangan anak-anak raja, maka berlakulah rebutan kuasa yang jatuh-menjatuhkan yang berakhirkan pertumpahan darah di kalangan anak-anak raja.
7. Raja yang menganggap dirinya lebih kuat itu mahu raja di negara jiran yang menyembah kepadanya.
8. Raja yang kuat juga sedia membantu raja yang mencari perlindungan politik di negaranya untuk mendapatkan balik kuasanya.
9. Raja yang kuat juga tegas menyelesaikan konflik yang timbul dari masa ke masa
10.Raja yang berkuasa itu adalah juga yang sudah terjamin kedudukannya dengan rakyatnya pantang menderhaka
11.Raja yang berkuasa bergantung kuat pada pembesar-pembesarnya untuk mengembangkan kuasanya
12.Raja dan pembesarnya yang cekap itu tunggak negara maju dengan rakyatnya bahagia.
13.Perbuatan Hang Tuah yang sanggup berkorban apa juga untuk rajanya tidak boleh dianggap perbuatan membodek, tetapi kelakuan yang paling mulia dalam masyarakat feudal.
14.Raja yang menakluki banyak negara lain juga tidak selamat untuk selama-lamanya.
15.Jatuh bangunnya negara juga kerana segala-galanya mempunyai kitaran hayatnya: yang hidup itu akan mati dan yang di atas itu akan turun ke bawah bila sampai masanya.
16.Kuasa mutlak raja juga disebabkan rakyat dilarang menderhaka selain mesti menaati semua perintah rajanya.

Selanjutnya perkara lain tentang kuasa raja-raja Melayu boleh didapati daripada cerita rakyat, termasuk Hikayat Langlang Buana dan Hikayat Raja Muda. Demikian juga sebaliknya kerana daripada hikayat-hikayat ini selain yang lain-lain, fakta dan faktur yang tersebut tadi dapat diperkukuhkan lagi. Walaupun tidak diketahui tarikh kedua-dua teks cerita rakyat itu dikarang, tetapi masyarakat Melayu sudah mempunyai ’tribal chiefdom’ yang terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Selain itu, organisasi ’tribal chiefdom’ peribumi Melayu itu pasti berbeza daripada organisasi kerajaan yang diperkenalkan di Era Hindu yang berdasarkan sistem kasta, dan juga organisasi kerajaan seperti di Pasai, Haru dan Melaka selepas kedatangan ugama Islam. Oleh sebab tidak ada sumber rujukan lain, perhatian kita akan diberi kepada cerita rakyat, terutamanya cerita penglipur lara, seperti Hikayat Raja Muda dan Hikayat Langlang Buana, dari tradisi lisan.
Hikayat Raja Muda bermula dengan kisah negeri Benua Tua dengan rajanya Sultan Degar Alam, bersama-sama menteri, hulubalang, sida-sida bentera dan ’banyak lasykar, tidak terpermanai banyak rayat tenteranya’. Kuasa dan kehebatan raja itu digambarkan dengan kata-kata “baginda keluar ke peseban agung, lalu bersemayam di atas takhta singgahsana yang keemasan yang bertatahkan ratna mutu manikam berumbai-umbaikan mutiara dikarang, cukup dengan alat orang berjawatkan perkakas kerajaan, empat puluh hulubalang di kanan, empat puluh di kiri yang sedang menyandang pedang yang keemasan….” Selain menceritakan keajaiban, hikayat ini juga menceritakan adat istiadat di istana berhubung dengan kelahiran, perkahwinan, pertabalan dan kemangkatan. Di dalamnya juga terdapat episod gajah putih mencari raja untuk negeri yang tidak beraja. Kemuncak cerita teks ini adalah Raja Muda memerangi tujuh orang penyamun sebelum sampai ke rumah Nenek Kebayan bersama-sama isterinya, Puteri Bongsu. Seperti hikayat penglipur lara yang lain, adat mengadap raja dilakukan menurut piawainya dengan kata ungkapan berikut:

Dari jauh menjunjung duli
Sudah dekat langsong menyembah
Terangkat kadam jari sepuluh
Kuncup seperti sulur bakung
Jari seperti susun sirih
Berleher lembut berlidah lembut
Menundukkan otak batu kepala

Demikian juga penggambaran tentang keramaian dan keseronokan tetamu di majlis perkahwinan anak raja yang mengorbankan beratus-ratus ekor kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik. Sudah pasti suasana perayaan perkahwinan anak raja itu tidak mampu ditanggung rakyat jelata, yang datang menjamu perut, mata dan telinga siang berganti malam dan malam bertukar siang. Semakin hebat suasana semakin besarlah kuasa raja itu. Sampai di sini ingin disentuh kuasa raja dalam Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Langlang Buana dengan serba sedikit maklumat yang didapati daripada pembacaan saya dari teks-teks yang lain. Secara ringkasnya:
1. Sultan menduduki puncak organisasi kerajaannya. Pemegang tampuk kerajaan, Bagindalah yang mempunyai kuasa yang paling besar bukan sahaja di dalam negerinya, tetapi juja jajahan takluknya. Kedudukannya sama seperti Yang Dipertuan Agung hari ini. Berkuasa mutlak, kata-kata Sultan adalah undang-undang yang mesti dituruti, selain Baginda juga hakim yang menjatuhkan hukuman. Sultan Mahmud Syah di Melaka yang telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas keluarga Bendahara Seri Maharaja tanpa usul periksa adalah contoh tentang besarnya kuasa mutlak Baginda, walaupun bukan semua sultan Melayu berkuku besi (authoritarian). Selain itu, Baginda adalah juga pusat perpaduan dan titik ketaatan rakyatnya. Ini membwa makna bahawa kekalahan Baginda adalah juga kekalahan negeri dan rakyatnya.
2. Bendahara yang memainkan peranan sebagai Perdana Menteri masa kini adalah ahli kabinet yang paling rapat hubungannya dengan Sultan. Perlantikannya mungkin juga kerana hubungan darah dan persaudaraannya dengan Sultan. Oleh sebab kebijaksanaan, keupayaan, kepimpinan, pengalaman dan kepercayaan dari anggota kabinet yang lain, Bendahara adalah juga penasihat utama kepada Sultan dalam hal ehwal antarabangsa, dalam negeri dan urusan negara penting yang lain. Beliaulah juga diamanahkan sebagai pemangku raja semasa lawatan Baginda melawati negara lain dan sementara menunggu anak raja yang masih kecil menjadi dewasa. Beliau juga mengetuai angkatan tentera dalam peperangan, selain bertanggung jawab ke atas keamanan negeri. Pendek kata, beliau adalah pelaksana segala perintah Sultan.
3. Penghulu Bendahari masa dahulu diamanahkan untuk mengutip hasil dalam negeri selain bertanggung jawab ke atas perbelanjaan pentadbiran kerajaan seperti Menteri Kewangan masa kini. Di Melaka dahulu, pembesar ini juga bertanggung jawab menyimpan daftar bilangan hamba abdi.
4. Temenggung yang bertanggung jawab melaksanakan undang-undang dan peraturan dalam negeri, menjaga keamanan negeri dan keselamatan harta benda itu lebih kurang sama dengan Menteri Dalam Negeri masa kini.
5. Syahbandar yang bertanggung jawab mengurus dan mentadbir hal ehwal saudagar yang datang berniaga itu sama dengan tanggung jawab yang dipikul Menteri Perdagangan masa kini. Selain memastikan urusniaga berjalan dengan lancar, beliau juga adalah orang tengah bukan sahaja di kalangan saudagar, tetapi juga antara golongan saudagar dengan istana.
6. Laksamana dikehendaki menjaga keamanan dan melindungi keselamatan awam. Beratnya tanggung jawabnya boleh dilihat pada Hang Tuah yang sanggup bergadai nyawa untuk melindungi keselamatan Sultan, mengiringinya membuat lawatan ke luar negeri dan membunuh musuh
7. Bentara, sida-sida dan hulubalang

Selain barisan pembesar istana itu, ada banyak lagi orang juga memainkan peranan penting di istana dalam Hikayat Langlang Buana. Mereka adalah pawang, bomoh dan tukang nujum. Oleh sebab boleh berkomunikasi dengan makhluk lain di dunia kayangan, kedudukan mereka tidak kurang berbanding dengan pembesar istana yang lain dalam mengekalkan kuasa raja. Mereka juga rapat kepada raja kerana raja perlu meminta bantuan mereka untuk membuat ramalan tentang apa yang akan berlaku kepada Baginda dan negerinya. Dalam Hikayat Jambi terdapat kisah Tuan Telanai dibuang kerana diramalkan akan membunuh ayahandanya bila dewasa. Walaupun ramalan itu sukar diterangkan dengan ujian saintifik, tetapi ia terus diwarisi manusia sampai sekarang. Sehubungan itu, ahli falsafah seperti Plato, Aristotle, Stoics, Scholasitcis, Thomas Aquinas, Leibniz dan Georg Ernst Sthal di Eropah telah mengkaji kewujudan semangat, roh dan nyawa dalam pokok, binatang, selain manusia dan mendapati kepercayaan yang menitikberatkan aninimse itu disebut sebagai ’folk, indigenous and ethnic religions’ seperti Shamanisme dan Hinduisme. Baru-baru ini terdapat percubaan daripada sesetengah sarjana untuk membezakan ’folk religion’ daripada ’official religon’.

Titik-Titik Perubahan Kerana Perubahan Masa & Keadaan
Persoalan yang selalu ditanyakan semasa memperkatakan kuasa mutlak raja adalah: tidakkah terdapat sekatan dan imbangan (check and balance) kepada kuasa raja yang zalim? Antara contoh kezaliman raja yang boleh dipetik dari Sejarah Melayu adalah Sultan Mahmud yang bukan sahaja telah membunuh Tun Mutahir, Tun Tahir dan Tun Ali (suami Tun Fatimah), tetapi juga memaksa Tun Fatimah menjadi isterinya. Akibat ketiadaan Tun Mutahir, pentadbiran Melaka menjadi semakin lemah sehingga mudah dikalahkan Portugis pada 1511. Kekalahan itu membuat Sultan mengarahkan pengarang Melayu mengarang Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, antara banyak lagi teks historiografi yang lain, dengan niat untuk menyampaikan ajaran dan mesejnya. Antara mesej itu adalah perpaduan adalah asas kerajaan yang kuat, seperti kerajaan di bawah Sultan Mansor Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah yang banyak dibantu Bendahara Tun Perak dan pembesar yang lain. Dalam Hikayat Hang Tuah, model itu diperlihatkan raja Sang Maniaka yang dibantu Bendaharanya, Paduka Raja dan juga Laksamananya, Hang Tuah. Kesepakatan dan persefahaman di kalangan pembesar dan kesetiaan rakyat adalah anak kunci keselamatan negara. Berhubungan kontrak sosial antara raja dengan rakyat dalam Sejarah Melayu, izinkanlah saya memetik kata muafakat yang amat bersejarah itu:

Maka sembah Demang Lebar Daun ”adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang diPertuan, hendaklah diperbaiki oleh anak cucu Duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanyapun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat, jiklalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada huku Syarak.”

Maka titah Sang Sapurba: “Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba pinta satu janji pada bapa hamba.”

Maka sembah Demang Lebar Daun: “Janji yang mana satu itu Tuanku?”

Maka titah Sang Sapurba: “Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.”

Maka sembah Demang Lebar Daun: “Baiklah, Tuanku. Tetapi, jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.”

Maka titah Sang Sapurba: “Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.
(Sejarah Melayu 1995: 19-20)

Nilai dialog itu tidak kurang pentingnya daripada nilai dialog Aristotle di Yunani purba. Moral cerita di sebalik dialog itu adalah pihak pemerintah dan pihak yang diperintah perlu saling mengawal agar kedua-duanya tidak melampaui batasan yang dipersetujui. Ini disebabkan kedua-dua pihak mempunyai kelemahan dan kekuatannya. Selain itu, semangat saling bergantungan itu adalah kepala engin keretapi yang membawa gerabak keseluruhan masyarakat ke landasan demokrasi yang kononnya telah dipelopori Aristotle di Yunani purba. Pendapat itu ternyata adalah kurang tepat kerana dalam masyarakat Melayu feudal sudah juga tertaman bibit-bibit demokrasi dan perkongsian kuasa kerajaan yang masih diperjuangkan di banyak negara sehingga kini. Ini juga disebabkan kezaliman, fitnah-menfitnah, perbuatan rasuah dan penyelewengan kuasa dalam masyarakat feudal itu masih berlaku di banyak negara masa kini. Pokoknya banyak pemimpin masa kini pandai menanam tebu di bibir semasa kempen pilihanraya. Mereka ’bikin lain daripada yang dicakap’ tetapi mahu rakyat yang memilih mereka ’ikut cakap aku, jangan ikut perbuatanku’.
Pendokumentasian kuasa raja Melayu menurut tradisi kepengarangan tradisional sudah berbeza dalam teks historiografi yang ditulis pada 1900an. Dalam Hikayat Pahang, misalnya, tidak ada lagi unsur pembukaan negeri dan keturunan raja Melayu diselubungi unsur mitos. Perhatian diberi kepada campur tangan British dalam urusan politik di Pahang sekaligus menghakiskan kuasa raja di Pahang, seperti Raja Haji Ali memperkatakan campur tangan penjajah Belanda di Riau sebelemnya. Dalam Hikayat Pahang diceritakan pihak British menggunakan pembunuhan You Hal, seorang Cina, yang didakwa British sebagai rakyat British untuk campur tangan dengan menghantar Frank Swettenham dan Hugh Clifford ke Pahang. Kes itu adalah sama dengan kes pembunuhan Birch di Perak. Atas nasihat Sultan Johor, Sultan Ahmad di Pahang menerima penasihat British dengan J. P. Roger dihantar sebagai Residen British di Pahang. Dengan ruang baru yang terbuka itu, pihak British memperkenalkan undang-undang British yang membolehkannya membawa masuk tentera Sikh untuk menjaga keselamatan. Selain itu, pembesar-pembesar Melayu tidak berpuas hati juga kerana kuasa yang ada pada mereka untuk mengutip cukai sudah terlucut. Kalau sebelum itu, semua saudagar dikehendaki membayar cukai atas hasil hutan, kayu gaharu, damar, pembalakan, perlombongan, antara yang lain-lain, kepada penghulu dan orang kaya di Pahang; tetapi ekuran campur tangan British, mereka hanya dibayar gaji $50 sebulan. Selain itu, perubahan lain sudah berlaku dengan kemasukan modal asing dan penubuhan syarikat seperti Penjom Mining Company, Selising Mining Company dan Kuala Pahang Sawmill Company. Selain itu, kuasa Sultan Pahang di negerinya seperti di banyak negeri yang lain sudah berpindah dan berpusat di tangan orang putih dengan penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada gabungan Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Perkembangan yang berlaku di Pahang, misalnya, adalah contoh pemindahan kuasa politik dan ekonomi raja-raja Melayu di satu pihak dan pemusatan kedua-dua kuasa itu di tangan orang British dan Belanda di Alam Melayu di satu pihak yang lain. Sebahagian daripada perubahan kuasa itu boleh dirujuk dalam senarai kronologi beberapa peristiwa sejarah di Alam Melayu dari 500 hingga 1700an di Lampiran. Pendek kata penghakisan kuasa raja-raja Melayu sudah bermula sejak kejatuhan Melaka pada 1511 sehinggakan raja-raja Melayu sudah ’dikurungkan’ di istana pada pinggir abad 19 setelah kehilangan kuasa politik dan ekonomi sedikit demi sedikit sebelumnya. Inilah yang dimaksudkan dengan kenyataan bahawa raja-raja Melayu yang berkuasa mutlak dahulu sudah menjadi ’figure-head’ pada pinggir abad ke 19. Dari banyak segi, era moden yang bermula dengan revolusi perindustrian di England adalah era yang paling menyedihkan di Alam Melayu yang bukan sahaja mengalami penjajahan politik, tetapi juga penjajahan ekonomi, lebih-lebih lagi penjajahan mental. Cengkaman penjajahan-penjajahan itu telah mengubah pandangan orang Melayu secara umum terhadap diri dan juga orang lain, lebih-lebih lagi tuan penjajah.

Rujukan
Bukhari al-Jauhari, 1992. Tajus-Salatin. Diselenggarakan Khalid M. Hussain. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hikayat Hang Tuah. 1975. Diselenggarakan Kassim Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hikayat Langlang Buana. Diselenggarakan oleh Mohd Yusof Md Noor. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti, 1998.
Hikayat Pahang. Diusahakan oleh Kalthun Jeran. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti, 1997.
Hikayat Raja Muda. [Diceritakan oleh] Pawang Ana dan Raja haji Yahya. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti, 1998.
Jelani Harun, 2008, Undang-Undang Kesultanan Melayu Dalam Perbandingan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Hukum Kanan Pahang, Diselenggarakan oleh Yaakub Isa. Pekan: Lembagas Muzium Negeri Pahang, 2003.
Majumdar, R. C., 1963, Hindu Colonies in the Far East. Calcutta: K. L. Mukhopadhyay.
Salasilah Melayu dan Bugis, 1984, Diselenggarakan Mohd Yusoff Hashim Md Nor. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Sejarah Melayu, 1995, Edisi W. G. Shellabear. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti,
Sulalatus-Salatin, 1979, Diselenggarakan A. Samad Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Windstedt, R. O, 1932, ‘Bendaharas and Temenggungs’. JMBRAS 10:1 hlm. 55-66
_______ _, 1932, Early Rulers of Perak, Pahang and Acheh. JMBRAS 10:1 hlm. 32-44
________, 1932, A History of Johor. JMBRAS 10:3 hlm. 164-170